Hamzah Bin
Abdul Mutthalib - Singa Allah
Thabarani telah mengeluarkan dari Al-Harits
At-Taimi dia berkata: Adalah Hamzah bin Abdul Mutthalib r.a. pada hari
pertempuran di Badar membuat tanda dengan bulu burung Na'amah (Bangau).
Sesudah selesai peperangan, maka seorang dari kaum Musyrikin bertanya:
Siapa orang yang bertanda dengan bulu burung Na'amah itu? Maka orang
berkata: Dialah Hamzah bin Abdul Mutthalib. Sambut orang itu lagi:
Dialah orang yang banyak memalu kita di dalam peperangan itu. (Majma'uz
Zawa'id 6:81)
Bazzar
mengeluarkan dari Abdul Rahman bin Auf ra. dia berkata: Bertanya
Umaiyah bin Khalaf kepadanya: Hai Abdullah! Siapa orang yang memakai
bulu burung Na'amah di dadanya pada perang Badar itu? jawabku: Dia itu
paman Muhammad, dialah Hamzah bin Abdul Mutthalib ra. Berkata lagi
Umaiyah bin Khalaf: Dialah orang yang banyak memalu kita dengan
senjatanya sehingga dia dapat membunuh ramai di antara kita. (Majma'uz
Zawa'id 6:81)
Hakim telah
mengeluarkan dari Sabir bin Abdullah ra. dia berkata: Rasulullah SAW
mencari-cari Hamzah pada hari Ubud setelah selesai peperangan, dan
setelah semua orang berkumpul di sisinya: Di mana Hamzah? Maka salah
seorang di situ menjawab: Tadi, saya lihat dia berperang di bawah pohon
di sana, dia terus menerus mengatakan: Aku singa Allah, dan singa
RasulNya! Ya Allah, ya Tuhanku! Aku mencuci tanganku dari apa yang
dibawa oleh mereka itu, yakni Abu Sufyan bin Harb dan tentera Quraisy.
Dan aku memohon uzur kepadamu dari apa yang dibuat oleh mereka itu dan
kekalahan mereka, yakni tentera Islam yang melarikan diri! Lalu
Rasulullah SAW pun menuju ke tempat itu, dan didapati Hamzah telah
gugur. Bila Beliau melihat dahinya, Beliau menangis, dan bila melihat
mayatnya dicincang-cincang, Beliau menarik nafas panjang. Kemudian
Beliau berkata: Tidak ada kain kafan buatnya?! Maka segeralah seorang
dari kaum Anshar membawakan kain kafan untuknya. Berkata Jabir
seterusnya, bahwa Rasulullah SAW telah berkata: Hamzah adalah penghulu
semua orang syahid nanti di sisi Allah pada hari kiamat. (Hakim 3:199)
Ibnu Ishak telah
mengeluarkan dari Ja'far bin Amru bin Umaiyah Adh-Dhamri, dia berkata:
Aku keluar bersama Abdullah bin Adiy bin Al-Khiyar pada zaman Mu'awiyah
ra... dan disebutkan ceritanya hingga kami duduk bersama Wahsyi
(pembunuh Hamzah ra.), maka kami berkata kepadanya: Kami datang ini
untuk mendengar sendiri darimu, bagaimana engkau membunuh Hamzah ra.
Wahsyi bercerita: Aku akan memberitahu kamu berdua, sebagai mana aku
sudah memberitahu dahulu kepada Rasulullah SAW ketika Beliau bertanya
ceritanya dariku.
Pada
mulanya, aku ini adalah hamba kepada Jubair bin Muth'im, dan pamannya
yang bernama Thu'aimah bin Adiy telah mati terbunuh di perang Badar.
Apabila kaum Quraisy keluar untuk berperang di Uhud, Jubair berkata
kepadaku: Jika engkau dapat membunuh Hamzah, paman Muhammad untuk
menuntut balas kematian pamanku di Badar, engkau akan aku merdekakan.
Bila tentera Quraisy keluar ke medan Uhud, aku turut keluar bersama
mereka. Aku seorang Habsyi yang memang mahir untuk melempar pisau
bengkok, dan sebagaimana biasanya orang Habsyi, jarang-jarang tidak
mengenai sasaran apabila melempar. Apabila kedua belah pihak bertempur
di medan Uhud itu, aku keluar mencari-cari Hamzah untuk kujadikan
sasaranku, sehingga aku melihatnya di antara orang yang bertarung,
seolah-olahnya dia unta yang mengamuk, terus memukul dengan pedangnya
segala apa yang datang menyerangnya, tiada seorang pun yang dapat
melawannya. Aku pun bersiap untuk menjadikannya sasaranku. Aku lalu
bersembunyi di balik batu berdekatan dengan pohon yang dia sedang
bertarung, sehingga apabila dia datang berdekatan denganku, mudahlahlah
aku melemparkan pisau racunku itu.
Tatkala dia dalam keadaan begitu, tiba-tiba datang
menyerangnya Sibak bin Abdul Uzza. Apabila Hamzah melihat Sibak datang
kepadanya, dia berteriak: Mari ke sini, siapa yang hendak mencari maut!
Dipukulnya dengan sekali pukulan kepalanya terus berguling di tanah.
Maka pada ketika itulah, aku terus mengacung-acungkan pisau bengkokku
itu, dan apabila aku rasa sudah tepat sasaranku, aku pun melemparnya
kepada Hamzah mengenai bawah perutnya terus rnenembusi bawah
selangkangnya. Dia mencoba hendak menerkamku, tetapi dia sudah tidak
berdaya lagi, aku lalu meninggalkannya di situ sehinggalah dia mati.
Kemudian aku kembali lagi untuk mengambil pisau bengkokku itu, dan aku
membawanya ke perkemahan kami. Aku duduk di situ menunggu, dan aku tidak
punya hajat yang lain, selain dari hendak membunuh Hamzah agar aku
dapat dimerdekakan oleh tuanku.
Apabila kami kembali ke Makkah, seperti yang
dijanjikan oleh tuanku, aku dimerdekakan. Aku terus tinggal di Makkah.
Dan apabila kota Makkah ditakluki oleh Rasulullah SAW aku pun melarikan
diri ke Tha'if dan menetap di sana. Apabila rombongan orang-orang Tha'if
bersiap-siap hendak menemui Rasulullah SAW untuk memeluk Islam, aku
merasa serba salah tidak tahu ke mana harus melarikan diri. Aku
berfikir, apakah aku harus melarikan diri ke Syam, atau ke Yaman,
ataupun ke negeri-negeri lainnya, sampai kapan aku akan menjadi orang
buruan?! Demi Allah, aku merasakan diriku susah sekali. Tiba-tiba ada
orang yang datang kepadaku memberi nasehat: Apa yang engkau susahkan?
Muhammad tidak membunuh orang yang masuk ke dalam agamanya, dan
menyaksikan syahadat kebenaran! Aku tidak ada jalan melainkan menerima
nasehat itu. Aku pun menuju ke Madinah untuk menemui Rasulullah SAW
Memang tiada disangka-sangkanya melainkan dengan tiba-tiba Beliau
melihatku berdiri di hadapannya menyaksikan syahadat kebenaran itu.
Beliau lalu menoleh kepadaku seraya berkata: Apakah engkau ini Wahsyi?
Jawabku: Saya, wahai Rasulullah! Beliau berkata lagi: Duduklah!
Ceritakanlah bagaimana engkau rnembunuh Hamzah?! Aku lalu menceritakan
kepadanya seperti aku menceritakan sekarang kepada kamu berdua.
Apabila selesai
bercerita, Beliau berkata kepadaku: Awas! Jangan lagi engkau datang
menunjukkan wajahmu kepadaku! Kerana itu aku terus-menerus menjauhkan
diri dari Rasulullah SAW supaya Beliau tidak melihat wajahku lagi,
sehinggalah Beliau wafat meninggalkan dunia ini. Kemudian apabila kaum
Muslimin keluar untuk berperang dengan Musailimah Al-Kazzab, pemimpin
kaum murtad di Yamamah, aku turut keluar untuk berperang dengannya. Aku
bawa pisau bengkok yang membunuh Hamzah itu. Ketika orang sedang gawat
bertempur, aku mencuri-curi masuk dan aku lihat Musailimah sedang
berdiri dan di tangannya pedang yang terhunus, maka aku pun membuat
persiapan untuk melemparnya dan di sebelahku ada seorang dari kaum
Anshar yang sama tujuan denganku. Aku terus mengacung-acungkan pisau itu
ke arahnya, dan apabila aku rasa sudah boleh mengenai sasarannya, aku
pun melemparkannya, dan mengenainya, lalu orang Anshar itu menghabiskan
hidupnya dengan pedangnya. Aku sendiri tidak memastikan siapa yang
membunuh Musailimah itu, apakah pisau bengkokku itu, ataupun pedang
orang Anshar tadi, hanya Tuhan sajalah yang lebih mengetahui. Jika aku
yang membunuhnya, maka aku telah membunuh orang yang terbaik pada masa
hayat Rasulullah SAW dan aku juga sudah membunuh orang yang paling jahat
sesudah hayat Beliau. (Al-Bidayah Wan-Nihayah 4:18)
Bukhari telah
mengeluarkan dari Ja'far bin Amru sebagaimana cerita yang sebelumnya,
cuma apabila orang ramai berbaris untuk berperang, lalu keluarlah Sibak
seraya menjerit: Siapa yang akan melawanku? Hamzah pun keluar untuk
melawannya, lalu Hamzah berkata kepadanya: Hai Sibak! Hai putera Ummi
Anmar, tukang sunnat orang perempuan! Apakah engkau hendak melawan Allah
dan RasulNya? Hamzah lalu menghantamnya dengan suatu pukulan yang keras
menghabiskannya.
http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=82:hamzah-bin-abdul-mutthalib-singa-allah&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
Tidak ada komentar:
Posting Komentar