Saiyidina Hassan bin Ali r.a., adalah seorang tokoh
Islam yang sangat dicintai oleh umat Islam. Sebagai seorang cucu
Rasulullh saw. beliau adalah ibarat permata di zaman hidupnya kerana
memiliki budi pekerti yang mulia dan terpuji.
Pada suatu hari sedang
Saiyidina Hassan duduk di muka pintu rumahnya, tiba-tiba datang seorang
pemuda badwi, lalu mencacinya dan juga kedua ibu bapanya. Anehnya,
Saiyidina Hassan hanya mendengar sahaja tanpa sedikit pun berubah air
mukanya, atau membalas kata-katanya itu.
Saiyidina Hassan berkata kepada orang itu: "Wahai
badwi, adakah engkau lapar atau dahaga? atau adakah sesuatu yang
merungsingkan hati engkau?." Tanpa mempedulikan kata-kata
Saiyidina Hassan, badwi itu terus memaki hamunnya.Oleh itu Saiyidina
Hassan pun menyuruh pembantu rumahnya membawa uncang yang berisi wang
perak lantas diberikannya kepada badwi itu dan berkata: "Wahai
badwi, maafkanlah saya. Inilah sahaja yang saya miliki. Jika ada yang
lebih tidak akan saya sembunyikannya dari padamu."
Sikap dan layanan
Saiyidina Hassan itu akhirnya berjaya melembutkan hati badwi tersebut.
Badwi itu menangis teresak-esak lantas sujud di kaki Saiyidina Hassan
dan berkata: "Wahai cucu baginda Rasulullah saw. maafkanlah aku kerana
berlaku kasar terhadapmu. Sebenarnya aku sengaja melakukan begini untuk
menguji kebaikan budi pekertimu sebagai cucu baginda Rasulullh saw.
yang aku kasihi. Sekarang yakinlah aku bahawa engkau mempunyai budi
pekerti yang mulia sekali."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar