Islam menyaksikan kelahiran banyak tokoh-tokoh
terkemuka. Antara yang hebat adalah Ikramah bin Abu Jahal. Seorang
pemuda yang pada awalnya sangat menentang Islam. Akhirnya menjadi
seorang pembela Islam yang tegar.
Peribadi
Ikramah merupakan
seorang pemuda Quraisy yang gagah berani. Beliau lahir dari keturunan
bangsawan Quraisy. Sangat dihormati dan dipandang mulia oleh penduduk
Mekah pada masa itu. Beliau juga merupakan seorang penungang kuda yang
sangat mahir.
Sebelum
masuk Islam
Ikramah menolak dakwah Islam kerana terpengaruh
dengan sikap ayahnya, Abu Jahal yang menentang Islam. Dek dorongan yang
kuat dari ayahnya itu, beliau juga sangat memusuhi Rasulullah SAW dan
menyeksa umat Islam yang lain.
Perang Badar
menyaksikan Ikramah menjadi sayap kanan kepada ayahnya. Namun, Abu Jahal
terbunuh dalam peperangan tersebut. Tambah malang lagi ia disaksikan
sendiri oleh Ikramah. Namun ia tidak mampu berbuat apa-apa kerana mahu
menyelamatkan diri sendiri.
Permusuhan Islam Semakin Memuncak
Sejak kematian
ayahnya itu, kebenciannya pada Islam semakin menebal. Kali ini bukan
kerana benci terhadap Islam, tetapi kerana mahu membalas kematian
ayahnya itu. Dalam beberapa peperangan melawan kaum muslimin, beliau
antara yang berada dibarisan hadapan.
Perang Uhud menyaksikan Ikramah menjadi
sayap kiri pasukan Quraisy manakala Khalid al-Walid menjadi sayap kanan
memimpin pasukan berkuda. Kedua panglima ini gagah memecah belahkan
tentera Islam.
Perang
Khandak menyaksikan beliau antara yang semangat ingin memecah banteng
pertahanan tentera Islam Madinah pada masa itu. Setiap hari beliau
berpusing sekitar parit untuk mencari jalan hendak menembusi Madinah.
Ketika pembukaan
kota Mekah berlangsung, Ikramah mengambil keputusan melawan tentera
Islam yang hendak masuk ke Mekah. Ikramah mengumpulkan pengikutnya untuk
menyerbu tentera Islam yang masuk ke Mekah.
Namun, ia sangat terkejut melihat Khalid
al-Walid yang menyerbunya ketika itu. Namun, beliau tetap tekad melawan
Islam. Akhirnya tenteranya tewas. Ikramah sempat melarikan diri dari
dibunuh.
Beliau
merasa sangat menyesal pada masa itu. Mekah tidak lagi aman baginya.
Beliau akhirnya menuju ke Yaman.
Isteri Solehah
Ummu Hakim, isteri
Ikramah sangat bimbang akan keadaan suaminya. Beliau kemudian mendapat
tahu suaminya di Yaman. Beliau ditemani pembantunya, seorang yang
berbangsa Rom, untuk menemaninya sampai ke Yaman
Namun, dalam
perjalanan, pembantunya itu merayunya berbuat maksiat. Tetapi Ummu Hakim
sangat setia pada suaminya itu. Selain itu, dia dapat menanganinya
dengan bijaksana. Dia memberi harapan dengan melewat-lewat masa sambil
meneruskan perjalanan.
Sesampai sahaja di sebuah perkampungan Arab,
Ikramah segera meminta tolong kepada penduduk disitu dan menyatakan niat
jahat pembantunya itu. Pembantunya itu akhirnya ditangkap. Dapatlah
Ummu Hakim meneruskan perjalanannya dengan aman.
Pertemuan
Cinta Suci
Akhirnya Ummu Hakim bertemu dengan suaminya di
Pantai Laut Merah. Mereka berpeluk kegembiraan. Ummu Hakim meminta
suaminya untuk pulang bersamanya ke Mekah. Sambil menyatakan Rasulullah
sudah mengampunkan kesalahannya itu.
Ikramah dengan senang hati mengikut
isterinya pulang ke Mekah. Dalam perjalanan pulang, Ummu Hakim
menceritakan perihal pembantunya kepada Ikramah. Mereka kemudian singgah
di perkampungan Arab tersebut.
Disebabkan terlalu marah dengan pembantunya itu,
Ikramah mengambil keputusan membunuh pembantunya itu. Mereka seterusnya
meneruskan perjalanan ke Mekah.
Mengucap Kalimah Syahadah
Ketibaan Ikramah dan
isterinya disambut oleh Rasulullah dan para sahabat. Mereka seolah-olah
sudah menduga kedatangan Ikramah ke Mekah. Baginda Rasulullah gembira
dengan kedatangan Ikramah tersebut.
Lantas, dihadapan baginda, Ikramah mengucap dua
kalimah syahadah. Ikramah berjanji akan mengubah perangainya dan
bersedia membela Islam dengan tangannya. Ikramah mahu bertaubat dan
menebus kesilapannya yang dulu.
Pahlawan Islam yang Berani
Ternyata Ikramah
menepati kata-katanya itu. Kalau dahulu hidup dan matinya melawan Islam,
kini beliau berjuang berhabis-habisan mempertahankan kalimah tauhid
Islam.
Perang
Yarmuk menyaksikan tentera Islam diserang bertubi-tubi oleh tentera Rom.
Ikramah kemudian mara kehadapan menyerang tentera Rom yang sedang
menggila. Beliau menghalau pasukan musuh yang sedang mara kehadapan.
Akhirnya, beliau
gugur terkorban dalam peperangan tersebut. Meskipun sedemikian, tentera
Islam berjaya mendapat kemenangan yang gemilang.
http://www.islam2u.net/index.php?option=com_content&view=article&id=329:ikramah-bin-abu-jahal&catid=14:kisah-kisah-sahabat&Itemid=75
Tidak ada komentar:
Posting Komentar